[Kosmo] Guan Yin Pusa tonjol realiti maya

PEMENTASAN teater muzikal biasanya dipersembahkan menerusi kombinasi tiga elemen teaterikal yang berbeza. Elemen-elemen itu termasuklah gubahan muzik, gaya lakonan serta susun atur tarian yang turut diselang-selikan dengan gimik persembahan.

Bagaimanapun, masih kurang dalam kalangan sutradara dan penerbit teater tempatan yang berani menyuntik elemen berbeza agar naskhah yang diangkat tampil segar berbanding naskhah-naskhah yang sedia ada.

Berikutan dengan itu, Yayasan Guan Yin menerusi syarikat produksi Shanghai Virtual Performing Art Lab bakal mempersembahkan sebuah teater muzikal berskala besar yang menampilkan rekaan set dengan elemen realiti maya atau virtual reality berjudul Guan Yin Pusa A Musical.

Produsernya, Datuk Tan Swee Lai berkata, rekaan yang menyatukan elemen tradisional teater muzikal dan teknologi terkini itu mampu memberikan kelainan terhadap pementasan Guan Yin Pusa A Musical.

“Rekaan set berbentuk tiga dimensi dan imej realiti maya atau virtual reality yang dibawakan khas oleh Shanghai Virtual Perfoming Art Lab ini bukan sahaja dapat menyerlahkan penceritaan yang terdapat dalam naskhah Guan Yin Pusa A Musical, malah turut mengintegrasikan platform media baharu seperti elemen tiga dimensi untuk tontonan umum.

“Selain itu, kemudahan teknologi berkenaan menonjolkan sisi artistik pementasan ini dengan lebih kreatif,” ujarnya pada sidang akhbar yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani dan Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Malaysia Bhd. Tan Sri Lim Kok Thay.

Teater muzikal yang menampilkan seramai 129 pelakon itu turut mendapat tajaan sebanyak RM1 juta daripada Resort World Genting.

Tambah Swee Lai, selain mempertaruhkan teknologi terkini, beliau juga turut menyuntik nilai-nilai murni ke dalam pementasan tersebut.

“Guan Yin Pusa A Musical turut dijadikan sebuah platform untuk menyampaikan kepentingan dalam mengamalkan nilai-nilai murni serta belas kasihan.

“Menerusi pementasan itu, penonton bakal dibawa menyelami nilai-nilai itu dengan iringan 15 buah lagu yang telah digubah oleh pengarah muzik iaitu Chow Kam Leong,” katanya.

Diinspirasikan daripada kisah Pintu Semesta yang dipetik daripada kitab Lotus Sutra, pementasan teater muzikal Guan Yin Pusa A Musical yang dibahagikan kepada empat bahagian itu juga berkisar tentang kepentingan berbuat baik sesama manusia.

Tiada sempadan agama

Ketika ditanya mengenai kesesuaian pementasan teater muzikal tersebut untuk tontonan khalayak yang beragama Islam, Datuk Juhari berkata, naskhah tersebut memfokuskan terhadap nilai-nilai murni yang perlu diamalkan oleh manusia, bukan sebuah muzikal yang mengagungkan kisah-kisah keagamaan.

“Di Istana Budaya, kami mengamalkan dasar buka pintu terhadap semua produksi teater yang ada di Malaysia. Bagi pementasan ini, penceritaan utamanya ialah galakan berbuat baik sesama insan.

“Justeru, saya berpendapat, tiada sebarang masalah jika penonton beragama Islam mahu menonton teater muzikal Guan Yin Pusa A Musical. Tambahan pula, naskhah ini turut dipentaskan dengan sari kata berbahasa Inggeris bagi memudahkan pemahaman khalayak,” katanya.

Sementara itu, Juhari menambah, teknologi baharu yang diilhamkan dari negara China itu bukan sahaja memberi impak kepada penonton tetapi menjadikan Istana Budaya lebih dikenali di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap lebih banyak karyawan bukan Melayu hadir dengan karya-karya sebegini selepas ini,” katanya lagi.

Teater muzikal Guan Yin Pusa A Musical bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 15 hingga 25 Januari depan. Tiket-tiket bermula dari RM100 hingga RM380 boleh didapati menerusi talian 03-8025 1557 atau di laman web www.guanyin.org.my.

Source: Kosmo